Sunday, August 3, 2008

Sejarah Keturunan Kita

Mak Uda nak cerita sedikit asal keturunan kita yang mak uda tahu.

Nenek dan arwah datuk kalian, iaitu ibu dan bapa kepada mak uda, berasal dari Pahang. Sebelah datuk kalian, kita berasal dari keturunan seorang pahlawan yang terkenal iaitu Datuk Bahaman. Ini sedikit dari informasi yang mak uda telah dapat tentang Datuk Bahaman.

Nama sebenar Dato' Bahaman adalah Abdul Rahman. Ayahnya bernama Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak Tok Setia Perkasa Semantan yang berketururnan Bugis dari Sulawesi Selatan. Beliau juga lebih dikenali sebagai Seman adalah seorang yang pandai bersilat dan juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu.

Bangkinang adalah sebuah Kecamatan di Kabupaten Kampar, Riau, Indonesia
Di samping julukan BUMI SARIMADU kabupaten Kampar juga terkenal dengan julukan SERAMBI MEKKAH di propinsi Riau,ini disebabkan masyarakatnya yang 100% beragama Islam (etnis ocu),demikian juga dengan pakaian yang sehari-hari yang dipakai bernuansa muslim.

Dari sejarah ringkas ini, kalian tahu iaitu asal keturunan kita dari Indonesia - dari kepulauan Riau.

Kisah Datuk Bahaman ini banyak dicatit dalam sejarah Malaysia. Beliau terkenal kerana keberanian beliau menentang British yang satu ketika dahulu menjajah bumi Malaysia.

Kalau kita baca sejarah, kalian nanti akan tahu iaitu Malaysia dahulunya pernah dijajah oleh orang-orang Protugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Kerana kita sudah kerap kali kena jajah, maka bangsa kita menjadi lemah kerana setiap penjajah datang dengan cara mereka sendiri. Mereka selalunya cuba mengubah cara hidup, kepercayaan dan budaya rakyat negara yang dijajah.

Moyang kalian (1860 - 19xx) telah cuba menentang pihak British dari berleluasa di bumi Temerloh, Pahang (tempat nenek wan tinggal sekarang). Datuk Bahaman telah beberapa kali mengalahkan tentera British tetapi kemudian telah terpaksa berundur ke hutan Tahan dan seterusnya ke Thailand. Sejak itu, sejarah beliau tidak diketahui.

Mengapa mak uda nak kalian tahu tentang perkara ini? Sebabnya, kita perlu contohi keberanian moyang kita yang tidak membenarkan pemerintah asing merampas hak dan kekayaan hasil negeri. Kita tidak boleh membiarkan pemerintah asing campur tangan dalam urusan negara kita. Pemerintah asing hanya minat untuk mengaut keuntungan untuk dibawa pulang ke negara mereka. Mereka tidak peduli dengan nasib rakyat tempatan.

Dari sejarah, kita dapat lihat, pemerintah asing yang menjajah sesuatu negeri, berbuat sesuka hati, membuat peraturan yang tidak menguntungkan rakyat tempatan.

Selain dari keberanian, keturunan kita juga berasal dari keluarga yang kuat berpegang pada ajaran agama. Maksudnya, asal keluarga kita orang yang banyak mengkaji ilmu agama, melakukan amal kebajikan serta mempunyai akhlak yang baik dan mulia. Sekiranya kita tidak mempunyai semua ini, kita tidak dikatakan kuat agama.

Sebab itu, tempoh hari semasa di Tioman, mak uda minta kalian semua berjanji untuk mencuba menjadi seorang yang berilmu, beramal dan berakhlak mulia.

Sebenarnya, arwah datuk kalian asal dari keturunan yang berharta, tapi arwah datuk kalian meninggalkan semua ini dan berhijrah ke Singapura. Arwah datuk kalian selalu berpesan pada mak uda iaitu dia tidak dapat meninggalkan harta pada kita semua tapi dia tinggalkan ilmu pengetahuan. Sekarang kalian boleh faham, mengapa mak uda, mak long, mak teh dan pak hitam, sering tekankan pada belajar dan mencari berbagai jenis ilmu.

No comments: