Kalian mungkin bertanya mengapa Mak Uda gunakan bahasa Melayu untuk blog sedangkan kita sering berbahasa English?
Jawapan yang mudah ialah kerana kalau tidak kalian tidak dapat menggunakan langsung bahasa Melayu. Kita orang Melayu dan bahasa kita bahasa Melayu. Allah telah lahirkan kita sebagai orang Melayu, tentu ada sebab-sebabnya.
Ketika Mak Uda disekolah rendah dahulu, Mak Uda belajar bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa English sebagai bahasa kedua. Bila di sekolah menengah Mak Uda berpindah ke bahasa English sepenuhnya. Mak Uda tak punya masalah dalam mempelajari bahasa English ini. Jadi, Mak Uda rasa, bahasa English bukan satu bahasa yang sukar dipelajari.
Kalian mesti ada semangat untuk mengenali bangsa kita sendiri. Bangsa kita mempunyai keunikannya sendiri tapi telah ditenggelamkan oleh bangsa-bangsa lain yang datang untuk menjajah kita. Akhirnya, orang-orang Melayu kita tidak mahu lagi dikenal sebagai bangsa Melayu. Kalau ada pun, dengan rasa rendah diri atau terpaksa.
Sepanjang usia Mak Uda setakat ini, sentiasa dikelilingi oleh bangsa-bangsa lain. Sering kali Mak Uda bersendirian kerana satu-satunya orang Melayu. Tapi, Mak Uda tidak merasa rendah diri. Mak Uda pastikan Mak Uda diterima sama level dengan mereka. Bahkan sebagai orang Islam, wajar kita rasakan yang kedudukan kita lebih tinggi. Syaidina Umar Al-Khattab berkata "Allah tinggi aku dengan Islam, maka tidak perlu pada yang lain lagi". Inilah satu contoh yang perlu kita tanam dalam diri kita.
Walaupun kita orang Melayu, sering dipandang "bodoh", "malas", "angan-angan", tapi Allah pilih kita sebagai orang Islam. Ertinya, kita punya potensi untuk pergi lebih tinggi dari orang bukan Islam. Hanya, kita perlu ilmu serta kegigihan untuk berjaya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment