Thursday, December 25, 2008

Memasuki Alam Persekolahan

Pengalaman memasuki alam persekolahan

Usia ku cukup 5 tahun, aku telah dimasukan ke sekolah makan (tadika). Kedua orang kakak dan abang ku juga telah dimasukkan ke sekolah yang sama. Setiap pagi, bapaku akan menghatar ku menaiki basikal ke sekolah. Dia juga akan menjemput ku pulang. Sekolah ku agak jauh.

Hari pertama nak ke sekolah, aku begitu ghairah . Kerana keluarga ku miskin, aku hanya memakai uniform bekas kakak ku. Agak dah berlapuk juga. Aku lihat kanak-kanak lain semunya berpakaian cantik-cantik. Sebenarnya, hari pertama tak perlu pakai uniform. Kanak-kanak lain semuanya di temani orang-tua mereka. Hanya aku saja yang sendirian sebab ibu ku kena jaga 2 lagi adik ku yang masih kecil.

Guru tadika ku namanya, Normah. Kami telah diberi sebuah fail seorang untuk tulis nama. Kanak-kanak lain, dibantu oleh keluarga mereka. Aku tak tahu menulis dan terus menangis. Guruku marah. Dia tuliskan namaku, kemudian dia cemuh ku “komproh”. Aku masih ingat lagi kata-kata itu. Aku rasa malu kerana dia mencemuhku di hadapan kanak-kanak lain. Aku sendiri tidak faham apa makna 'komproh" kerana ia dari bahasa Jawa. Pengalaman pahit itu, menjadi asas rasa rendah diri ku sehingga dewasa. Lama baru aku dapat atasi rasa inferiority complex. Aku nasihatkan orang-orang dewas, jangan sesekali mencemuh atau mengkritik anak-anak kecil. Kesannya mendalam.

Aku tak beritahu ibuku. Tak tergamak aku nak kasi tahu. Aku dapat rasakan tentu dia juga akan kecil hati. Dia telah buat yang terbaik buat ku semampunya. Aku pendamkan saja. Itulah juga permulaan aku menyimpan rahsia dari kedua-orang tuaku. Jarang aku akan berkongsi pengalaman-pengalaman yang aku lalui dengan mereka. Aku lebih suka uruskan sendiri. Ibu ku juga perasaan. Satu hari ketika aku sudah dewasa, dia kata aku dari kecil lagi tidak suka susahkan orang tua. Aku pikul beban aku sendiri.

Pulang dari sekolah, aku telah mencuci kasut ku dan mengkapurnya. Aku gosok baju ku. Ketika itu, pakai seterika arang. Bukan senang. Berat. Tapi, kerana nak jaga maruah keluarga ku, sejak itu aku sentiasa pastikan yang pakaian ku, biar lusuh tapi bersih dan bergosok, dan kasut ku sentiasa berkapur. Tapi, guru ku tetap pilih kasih. Dia hanya suka dengan kanak-kanak yang berpakaian cantik.

Aku puji sikap bapaku. Semasa kami masih kecil lagi, dia akan melatih kami menghafal times-table sampai angka 12. Ini bagus untuk perkembangan akal kami dan sebagai asas mathematik. Dia juga sering membaca bersama ku. Dia sendiri pun sehingga akhir hayat, tidak pernah lepas membaca surat-khabar. Dia guruku yang pertama. Dia juga yang mengajar aku dan kanak-kanak kampung mengaji.

Yang terpandai di kampung

Aku bersekolah rendah berdekatan rumah ku. Sekolah ku terletak di belakang Hwa Chong Junior College. Ketika itu, JC ini belum dibina. Hari pertama aku ke darjah satu, aku hanya ditemani kakak ku yang belajar di darjah 5. Kanak-kanak lain semuanya ditemani ibu atau bapa mereka. Aku lebih berdikari.

Ibu ku berpendapat, anak-anak perempuan lebih baik dimasukkan ke aliran (medium) Melayu. Jadi aku dan kakak ku belajar di medium Melayu sementara abang ku di medium English. Bagus juga. Aku belajar bahasa Inggeris, Mathematics dan Sains dalam bahasa Inggeris. Aku belajar tawarikh (history), ilmu alam (geography) dalam bahasa Melayu. Aku juga belajar agama dan tulisan jawi. Aku dapat kedua-duanya. Sebab itu bahasa Melayu ku baik. Bila aku ke sekolah menengah, baru aku tukar ke medium English atas nasihat guru ku.

Di sekolah rendah, kemampuan aku belajar teserlah. Aku sering dapat nombor satu. Aku juga dipilih sebagai ketua darjah dan prefect. Aku juga dipilih berdiri depan sekolah untuk membimbing bacaan ikrar dalam bahasa Melayu setiap pagi. Hebat juga aku ya !

Bapa ku terus membimbing ku. Dia yang beri aku tuisyen. Dalam kampungku, akulah yang paling pandai di kalangan kanak-kanak lain. Satu hari, aku pulang kesekolah memakai lencana prefect, heboh satu kampung. Sebelumnya, belum ada kanak-kanak kampung yang jadi prefect. Bapaku begitu bangga. Dia buat kenduri dan umum satu kampung. Aku jadi malu. Sejak itu, apa juga pencapaian yang aku perolehi, aku tak beritahu dia. Aku sembunyikan. Bahkan, seringkali, hari penyampaian hadiah pun aku tak beritahu mereka sedangkan tiap tahun aku penerima hadiah pertama dan macam-macam lagi. Semua hadiah-hadiah yang aku terima aku akan sorokkan. Aku akan koyakkan dulu kertas yang ditampal yang tercatit namaku. Aku begitu takut sekali dia akan umum pada orang lain. Ini semua gara-gara perasaan inferiority complex ku.

No comments: