Peristiwa jiranku kena kejutan elektrik.
Peristiwa ini meniggalkan badi pada ku hingga sekarang. Kerana kampung ku berkongsi bekalan elektrik, semua rumah disambung dengan kabel eletrik yang sama. Hampir semua rumah beratapkan zink. Rumah ku pun sama. Rumah ku berhadapan dengan kawasan lapang. Bapaku telah membuat ampaian kain dari dawai untuk tempat jemur baju. Kerana rumah dan dapur kami kecil, bapa ku telah membina tandas dan tempat cuci pinggan mangkuk di luar rumah. Semuanya dari zink. Besen cuci pun dari besi.
Satu hari, setelah hujan lebat, sebatang pokok kelapa menimpa bumbung tempat cuci pinggan-mangkuk kami. Semua orang tak sedar yang kabel elektrik telah terputus dan mencecah bumbung zink. Ibu ku yang sedang mencuci pinggan merasa semacam ada kejutan tapi dia tak tahu apa puncanya. Bila bapaku siasat, baru kami tahu. Riuh satu kampung, sebab bekalan elektrik putus. Semua berkumpul depan rumah ku. Kami kanak-kanak pun turut menyibuk sama.
Anak jiran ku, lelaki yang berusia 12 tahun, tanpa sengaja telah bergayut pada tali ampaian depan rumah ku. Sekelip mata, dia melekat. Abangnya yang berusia 14 tahun, cuba membantu. Dia cuba menarik kaki adiknya, tapi dia juga melekat. Aku melihat sendiri adiknya hampir biru. Kebetulan bapa ku yang ada berdekatan, dengan pantas menarik kedua kaki adik beradik itu dan melepaskan mereka. Mereka terselamat. Kalau lewat sedikit, mungkin mereka tidak dapat diselamatkan. Peristiwa itu begitu menakutkan. Aku dapat belajar tentang kekuasaan elektrik. Hingg kini, aku sentiasa berhati-hati dengan barangan elektrik.
Banjir Besar Sehari sebelum Raya
Ketika peristiwa ini berlaku, aku berusia 6 tahun. Kampung ku dah biasa dilanda banjir. Kami kanak-kanak memang suka bila banjir berlaku. Kami boleh berlagak pergi swimming pool. Berenang dalam longkang dan main water-sport. Jet-ski kami ketika itu ialah daun pelepah pinang. Tayar basikal jadi pelampung. Sungguh seronok. Yang tak seronoknya, bila tengah-tengah mandi, timbul batang-batang kecil lembik warna coklat! Tahik manusia.
Hujan yang turun tak henti-henti mulanya tidak membimbangkan kami. Lebih lagi kami sedang berpuasa. Aku dan kanak-kanak lain tak sabar nak sambut hari raya. Sebulan kami telah dikerah puasa. Sehari sebelum raya, bila kami bangun, air sudah mencecah lantai rumah. Rumah-rumah di kawasan rendah banyak yang telah dimasuki air. Mereka terpaksa berpindah ke sekolah cina Nanyang.
Bapaku telah menyediakan papan dan membawa kami satu persatu ke kawasan kering. Semua persiapan hari raya juga dibawa sama. Ibu ku membantu dengan menangkap ayam-itek untuk diselamatkan. Malam itu, satu kampung semua bermalam di sekolah cina itu. Hilang mood nak beraya.
Keesokannya hari raya, air sudah surut. Kami pulang ke rumah. Ibu bapa ku sibuk menyiapkan masakan dan persiapan yang diperlukan. Aku tak ingat apa aku buat Yang aku tahu, aku tetap dapat beraya bersama teman-teman.
Kejadian Aneh Setelah Majlis Berkhatan Abangku
Cukup usia 9 tahun, bapa buat keputusan nak khatankan (sunatkan) abangku. Kebetulan ada anak jiran satu kampung yang buat sama. Abang ku dan anak jiran ini satu darjah. Ibu-bapa anak jiran itu bergitu beria-ia nak bapaku joint-venture dalam majlis ini. Sebelumnya, kami sekeluarga tak rapat dengan mereka. Mereka dikategorikan sebagai orang berada. Rumah mereka besar dan berpagar.
Kerana pertama kali diadakan majlis berkhatan, bapa ku nak buat besar-besaran. Masak nasi minyak. Satu kampung dijemput. Ketika itu semangat gotong-royong masih kuat. Semua tolong-menolong. Tak perlu pakai syarikat catering.
Setelah majlis berlalu, beberapa peristiwa aneh menimpa keluargaku. Hingga sekarang, kesannya masih ada.
Ibuku buat keputusan untuk pulang ke kampung menziarahi keluarganya. Dia hanya membawa sama adik bongsu ku yang berusia 3 tahun. Sampai saja ibu ku kampung, dia jatuh sakit dan terpaksa di bawa ke hospital KL dengan ambulance. Keadaannya sangat membahayakan. Dia mengandung luar rahim. Doktor terpaksa buat pilihan untuk menyelamatkan nyawanya. Bapa ku telah bergegas balik ke Malaysia. Kami berempat di tinggalkan sendirian. Bapaku minta bantuan jiran sebelah rumah untuk menjaga kami. Ketika itu, kakak ku baru berusia 11 tahun.
Malam itu, semasa tidur, aku terasa kaki ku telah dilukai. Mulanya, aku ingat aku terkena paku yang dipasang di katil orang-tuaku. Keesokan harinya, baru aku perasaan, darah banyak keluar. Jari kedua kakiku luka. Jiran ku telah membantu merawatnya. Aku yakin yang mengigitku tikus mondok sedangkan sebelum ini belum pernah tikus masuk ke rumah.
Malam kedua, kakakku pula yang kena gigit. Bila bapa ku pulang semula ke Singapura, dia dan adik perempuan ku pula yang kena gigit. Semasa bapa ku hendak digigit dijari, bapa ku sedar dan terlihat mondok besar. Adik ku pula telah digigit di jari tengah kaki. Hingga dia berusia 14 tahun, bisanya masih kekal. Dia sering mengadu sakit. Kesan di kaki ku masih ada hingga sekarang. Setelah semua ahli keluarga ku digigit, tikus mondok tu tak pernah lagi naik ke rumah.
Menurut ibu ku, ada yang aneh tentang peristiwa ini. Sesuatu yang paranormal. Kerana seminggu sebelum itu, bapa ku ada menceritakan pada ibu, semasa dia pulang dari kerja, jam 12 malam, dia melihat ada lembaga di luar rumah ku. Lembaga bukan manusia. Bapaku orangnya berani dan dia tak percaya perkara-perkara paranormal. Jadi dia tak ambil pusing.
Sejak peristiwa itu, abang ku mula jatuh sakit. Dia semakin hari semakin lembik. Sering jatuh. Budak-budak kampung juga sering ejek dan tolak dia. Dia tak dapat mengawal pergerakkannya. Bapa ku telah membawa dia ke hospital. Tapi penyakitnya tidak dapat dikesan.
Atas nasihat jiran-jiran, bapa ku ada juga cuba mendapatkan rawatan bomoh-bomoh. Macam-macam teknik mereka gunakan. Tapi, semua mengatakan yang abang ku telah terkena sihir. Aku masa itu kecil lagi. Ibu-bapa ku juga lebih percaya dengan doktor dari bomoh atau dukun. Hanya setelah dua tahun, baru doktor dapat tahu yang tulang belakang abang ku retak, dan air sumsumnya telah banyak keluar. Abang ku kini lumpuh hampir seluruh anggota badan.
Kehidupan kami sekeluarga berubah dengan penyakit abangku. Masa kami banyak terluang di hospital. Setiap yang hendak kami lakukan, kena ambil kira keperluan abang ku. Beberapa kejadian yang menimpa abangku, membuat aku cepat dewasa.
(abang ku meninggal dunia pada 6/2/07 )
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment